Tuesday, August 26, 2014

Ketumbuhan pada Rahim Wanita : FIBROID


Apakah Ketumbuhan Fibroid?
Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala.
Walau bagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung. Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid.
Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.


Apakah Gejala-gejala Fibroid?
Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen.  Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang  sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.


Post a Comment